Bismillah
Salam to all..
Saudaraku,
Sejak pengisytiharan negara Israel, media Barat telah memberi gambaran yang salah mengenai rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk merebut kembali tanah air mereka yang telah dirampas oleh rejim Zionis lebih 60 tahun. Media barat telah menggelar mereka sebagai ‘pengganas’ sedangkan mereka sebenarnya pejuang yang menuntut hak mereka yang secara halal. Mereka sengaja membesarkan keperibadian pejuang Palestin sebagai ‘pengganas’ yang kononnya bertekad semata-mata untuk membunuh orang Yahudi. Tetapi kenyataan sejarah membuktikan bahawa sebenarnya yang ganas, kejam dan zalim ialah rejim Zionis dan konco-konconya, yang mengusir sebilangan besar rakyat Palestin dan merampas tanah milik mereka, lalu mengisytiharkan negara Israel di atas keruntuhan Palestin.
Ramai pemimpin rejim Zionis pada masa ini terdiri daripada ketua-ketua kumpulan ganas yang pernah bertindak kejam membunuh jiwa dan membinasa harta rakyat Arab yang tidak berdosa sejak tahun 1948. Semua ini dilakukan dengan dakwaan mereka kononnya Palestin adalah waris bangsa Yahudi, yang dijanjikan oleh Tuhan di dalam Kitab Taurat(Old Testament).
Sejak menduduki dan menawan Baitul Maqdis, mereka telah membunuh orang Islam yang sedang menunaikan solat di dalam masjid. Tentera Yahudi bukan sahaja menyerang dan memusnahkan masjid-masjid malah penduduk awam juga diserang dan dibunuh seperti yang berlaku pada 28 Oktober 1956 dimana petani-petani dibunuh dengan kejam.
Malah tragedi pembunuhan yang berlaku di Sabra dan Syatila, dimana kedua-dua kem perkhemahan ini diserang oleh tentera Israel pimpinan Ariel Sharon telah membunuh lebih 3000 orang Islam yang tinggal di kem ini. Bagi mengaburi mata masyarakat dunia, tentera telah membicarakan kes ini dan mereka yang didapati bersalah dikenakan denda sebanyak 14 sen(USD) sahaja. Pada Mac 2002, kejadian sama berulang di kem pelarian Jenin.
Selain itu, pembinaan Tembok Arpatheid (Tembok pemisah Tebing Barat) telah memisahkan penduduk Palestin sekaligus menyebabkan mereka terputus hubungan dengan ahli keluarga mereka yang menetap di dalam kawasan tembok tersebut. Pembinaan tembok ini bukan sahaja telah memutuskan tali persaudaraan mereka malah hak-hak mereka ke atas tempat tinggal mereka dinafikan.
Tanah dan rumah mereka dirampas semata-mata untuk membina tembok ini. Mereka tidak dibenarkan tinggal di dalam kawasan tembok ini. Mereka yang dinafikan hak untuk pulang ke rumah mereka terpaksalah tinggal di kem-kem pelarian. Malah ada pelarian Palestin yang cuba pulang ke rumah mereka di Baitul Maqdis tetapi dihalau keluar oleh Yahudi.
Tidak cukup dengan itu, ada juga penduduk Palestin yang tidak dibenarkan langsung kembali ke tanah air mereka. Bantuan makanan juga disekat dari dibawa masuk ke Palestin. Bantuan ekonomi juga dilumpuhkan, malah pengangkutan darat,udara dan laut dikenakan sekatan menyebabkan penduduk terputus hubungan. Mesir yang dulunya dilaung-laungkan boleh membantu penduduk Palestin kini hanyalah laungan kosong semata-mata.
Pembinaan terowong-terowong bawah tanah bagi membawa masuk bekalan makanan ke Palestin diruntuhkan oleh pihak kerajaan Mesir. Bukan itu sahaja, konvoi viva palestin yang membawa bantuan bekalan makanan dan perubatan dihalang oleh kerajaan Mesir daripada masuk ke Semenanjung Gaza. Hal ini telah mencetuskan kemarahan peserta sehingga menyebabkan beberapa peserta ditangkap termasuk seorang rakyat Malaysia.
Pemimpin-pemimpin yang mewakili rakyat palestin cuba melobi pemimpin didalam PBB tetapi menemui kegagalan disebabkan pengaruh Amerika Syarikat. Namun sejak serangan 21 Disember 2008, lensa kamera dunia mula memberi perhatian kepada isu Palestin, OIC mula menampakkan fungsi apabila cuba mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa atas kesalahan melakukan jenayah perang. Manakala negara-negara arab menerima tamparan hebat apabila pemimpin Venezuela memutuskan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
Saudaraku,
Sebenarnya setiap daripada kita semua boleh menzahirkan rasa cinta kepada Palestin melalui banyak cara. Dalam masa yang sama, beberapa langkah yang praktikal harus diambil oleh setiap umat Islam demi menyelamatkan Masjidil Aqsa. Diantaranya ialah :
1) Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjidil Aqsa dalam aqidah umat islam dengan berusaha mendalami ilmu-ilmu agama dan juga menambah pengetahuan terhadap isu Palestin dan juga sebarang maklumat berkaitan dengan Masjidil Aqsa. Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin agar isu Palestin dan isu Masjidil Aqsa dapat dilihat dari kaca mata Islam dan bukan hanya dari kaca mata politik atau material semata-mata.
2) Berusaha untuk menyampaikan maklumat mengenai bahaya yang mengancam masjid suci umat Islam kepada seluruh umat islam di Malaysia selaras dengan kemampuan. Ruang teknologi maklumat merupakan satu medium yang paling efektif dan berkesan untuk menyampaikan maksud ini. Selain itu, ceramah dan program yang berkaitan dengan Palestin dan Masjidil Aqsa boleh dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.
3) Masjid-masjid, organisasi-organisasi Islam dan dakwah, komuniti Muslim dan juga orng perseorangan boleh tampil dengan mengadakan memorandum dan mngumpulkan tandatangan mendesak OIC untuk menjadikan isu ini sebagai isu utama mereka dan jangan sesekali meminggirkannya. Memo tersebut kemudiannya boleh diserahkan kepada OIC yang sekarang dipengerusikan oleh Kuala Lumpur.
4) Menghulurkan bantuan kewangan kepada pelarian, anak-anak yaatim, balu-balu, dan juga rakyat Palestin yang merupakan tonggak utama dan barisan pertama umat Islam di dalam menghadapi musuh Zionis yang mengancam Masjidil Aqsa.
5) Memboikot barangan buatan Israel, barangan keluaran syarikat-syarikat pro-Zionis dan juga barangan buatan Amerika Syarikat(AS) yang bertanggungjawab membantu rejim Zionis dalam usaha mereka merobohkan Masjidil Aqsa.
6) Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa. Selain itu, isu ini juga perlu melibatkan golongan bukan Islam di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.
7) Mendoakan keselamatan Masjidil Aqsa, keutuhan para pejuang Palestin dan juga penerusan kemenangan jihad umat Islam di Palestin demi mempertahankan Masjid Aqsa dan juga dalam usaha mereka menghalau penjajah Zionis dari bumi Baitul Maqdis dan juga Palestin.
Wassalam..
P/s : Artikel ini saya panjangkan di bawah tajuk Palestin dan Masjidil Aqsa. Ianya satu perkongsian hasil dari tugasan yang diberikan kepada saya. Saudaraku, Rasulullah bersabda"Sesiapa yang menunjukkan di atas sesuatu kebaikan,maka baginya pahala seumpama pelakunya". Atas dasar ini,saya berkongsi setakat mana yang diketahui oleh saya. Sampaikanlah walaupun satu ayat..
No comments:
Post a Comment