Sebelum memeluk Islam,Umar Al-khatthab digeruni kerana menyeksa mereka yang memeluk islam. Suatu hari,Umar merasa marah dan sangat kecewa.dia keluar dari rumahnya sambil menghunus pedang. Di tengah jalan,dia bertemu dengan Nu’aim bin Abdullah al-Nahham yang telah memeluk Islam tanpa sepengetahuan orang ramai.
Nu’aim bertanya kepada Umar ,“Hendak kemanakah engkau Umar?”
“Muhammad telah memecah belahkan kaum Quraisy,menganggap rendahnya akal mereka, mencela agama mereka dan menghina tuhan-tuhan mereka. Aku akan mencari dan membunuhnya,” jawab Umar dengan nada yang tinggi.
“Engkau terlalu dikuasai amarah,Umar.Apakah engkau mengira Bani Abd Manaf akan membiarkanmu hidup jika kau bunuh Muhammad? Mengapa engkau tidak pulang sahaja ke rumahmu dan menguruskan keluargamu?” timpal Nu’aim.
Nu’aim kemudiannya menasihati Umar agar dia terlebih dahulu mengurus keluarganya. Nu’aim mengatakan adik Umar,Fatimah serta suaminya secara diam-diam telah memeluk Islam. Mendengar hal demikian,Umar bergegas pulang ke rumah adiknya Fatimah dengan marah yang kian meluap-luap.
Ketika itu,Fatimah dan suaminya sedang mempelajari al-Quran bersama Khabbab bin al-Arat. Mengikut anjuran Nabi,umat Islam dianjurkan mempelajari agama mereka secara diam-diam di tengah situasi yang tidak kondusif itu. Ketika mendekati rumah adiknnya Fatimah, Umar sempat mendengar Khabbab melantunkan al-Quran. Umar segera mengetuk pintu. Terkejut mengetahui kedatangan Umar secara tiba-tiba, Khabbab segera bersembunyi.
Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, Umar masuk dan bertanya tentang suara yang didengarinya tadi. Fatimah dan suaminya mengelak. Tetapi Umar bertanya kembali dengan suara yang keras dan tajam, “Kudengar kamu berdua telah memeluk agama Muhammad.Benarkah?”
Suami Fatimah yang masih saudara sepupu Umar segera maju. “Wahai Umar, bagaimana pendapatmu jika ternyata yang benar bukan agamamu...?”tanyanya.
Umar tidak membiarkan saudara sepupunya ini menyelesaikan ucapannya. Dia terus menyerang, memukul dan menyepaknya sekuat tenaga. Melihat suaminya terancam, Fatimah dengan berani terus menghalangi Umar. Namun Umar tidak dapat lagi mengawal amarahnya. Adik kandungnya itu pun dipukul dengan kuat. Akibat pukulan itu, kepala Fatimah terluka. Darah mengalir dengan deras. Fatimah dan suaminya berdiri menghadap Umar. Dengan keberanian yang luar biasa, keduanya berkata, “Ya,kami telah masuk Islam dan beriman kepada Allah serta Rasul-Nya. Sekarang, lakukan apa pun yang kamu kehendaki.”
Melihat darah mengalir deras dari kepala Fatimah, tiba-tiba Umar merasa hiba dan menyesali perbuatannya. Melihat Fatimah yang sedang menatapnya, Umar tahu bahawa keberanian memperjuangkan keyakinan adalah semangat yang paling asas dimiliki oleh keluarganya. Marah secara beransur-ansur hilang dari hati Umar. Lalu dia meminta lembaran yang dibaca oleh adiknya tadi.Umar ingin tahu ajaran apakah yang sebenarnya yang dibawa oleh Muhammad.
Pada mulanya Fatimah enggan menyerahkan lembaran yang berisi ayat-ayat al-Quran itu. Dalam hatinya, Fatimah berharap agar Allah memberikan petunjuk kepada saudaranya agar masuk Islam. Umar juga termasuk salah seorang pemuda quraisy yang memiliki pengetahuan mendalam tentang bahasa, syair dan sejarah arab. Dia juga pandai membaca dan menulis. Ketika dia menerima lembaran yang diserahkan oleh adiknya,lalu dia melihat bahagian pertama dari surah Thaha. Umar pun membacanya dengan suara yang lantang. “Bismillahirrahmanirrahim.”
Umar bergetar ketika menyebut nama Allah. Dia berhenti sebentar, lau meneruskan bacaannya:
“Thaha. Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu (Muhammad) agar engkau menjadi orang yang susah, melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah) . Diturunkan dari (Allah) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, (iaitu) Yang Maha Pengasih, yang bersemayam di atas Arsy, milik-Nyalah apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi,apa yang ada di antara keduanya dan apa yang ada di bawah tanah. Dan jika engkau mengeraskan ucapanmu,sungguh, Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. (Dialah) Allah,tidak ada tuhan selain Dia,yang mempunyai nama-nama yang terbaik.”
(Thaha: 1-8)
Umar berhenti sejenak, tubuhnya merasa gementar. Dia kemudiannya meneruskan bacaan hingga sampai ayat:
“Sungguh,Akulah Allah,tidak ada tuhan selain Aku,maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku.”
(Thaha: 14)
Sekali lagi Umar terdiam. “Ya,siapa pun yang mengeluarkan pernyataan ini berhak untuk tidak disekutukan dengan sesuatu apapun. Betapa indah dan mulia pernyataan ini,” katanya.
Umar kemudiannya meneruskan bacaannya:
“Sungguh,hari Kiamat itu akan datang. Aku merahsiakan (waktunya) agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah dia usahakan.”
(Thaha: 15)
Umar terdiam lagi sejenak, lalu berkata, “betapa indah dan mengesankan.”
Ketika Umar tenggelam dalam renungannya, Khabbab tahu bahawa keindahan al-Quran telah mempengaruhi Umar. Besar harapan Khabbab agar Umar masuk Islam. Lalu dia keluar dan berkata, “Wahai Umar,demi Tuhan,aku sungguh berharap engkaulah yang dipilih Allah sebgaai jawapan dari doa Rasulullah.Aku mendengar beliau berdoa kemarin agar Allah menguatkan Islam dengan salah seorang dari dua orang, iaitu engkau atau Abu al-Hakam bin Hisyam. Berimanlah kepada Allah,wahai Umar.”
Umar tetap berdiam diri dan hanyut oleh keindahan ayat-ayat yang dibacanya. Cahaya al-Quran telah menerangi dan menenangkan jiwanya yang sebelum ini keras seperti batu. Cahaya iman dan Islam telah memenuhi hatinya. Hatinya bersedia untuk beriman.
“Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad!” katanya kepada Khabbab.
“Beliau ada di sebuah rumah di Shafa bersama dengan sahabat-sahabatnya.”
Umar dengan segera menuju ke tempat yang ditunjukkan Khabbab. Setibanya di sana, dia pun mengetuk pintu. Salah seorang sahabat berdiri dan mengintip dari sebalik pintu. Betapa terkejutnya dia apabila melihat Umar berada di sebaliknya. Sahabat itu kembali dengan ketakutan, “Wahai Rasulullah, ada Umar dihadapan pintu. Dia membawa pedang.”
Para sahabat terdiam. Lalu Hamzah berkata,”Izinkan dia masuk,wahai Rasulullah. Jika dia datang dengan niat yang baik,kita akan sambut dengan baik. Sekiranya dia datang dengan niat yang buruk,kita pula yang akan membunuhnya dengan pedangnya sendiri.”
Rasulullah memutuskan, “Baiklah,izinkan dia masuk!”
Pintu pun dibuka, lalu Umar segera masuk. Rasulullah menemuinya di ruangan bahagian luar. Sebaik sahaja bertemu,Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatkan engkau datang kemari,wahai Umar?”
Rasulullah juga mengingatkan Umar akan kemurkaan Allah. “Aku datang untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Aku juga akan mengikuti semua ajaran Islam,” jawab Umar.
Mendengar demikian, Rasulullah segera bertakbir dengan suara yang kuat. Suara itu membuatkan para sahabat mengetahui bahawa Umar datang dengan niat untuk memeluk Islam. Semua yang berada disitu kemudiannya bertakbir dan bersyukur. Rasulullah kemudiannya menyentuh dada Umar dengan tangannya seraya berdoa agar Umar diberi keteguhan hati.
Peristiwa gembira ini berlaku pada bulan Zulhijjah tahun keenam kenabian. Ketika itu, Umar berusia 26 tahun.

No comments:
Post a Comment