Wednesday, November 3, 2010

Komunikasi Berkesan (aku,dia dan engkau)


Dengan Lafaz Bismillah mulakan bicara, Selawat serta Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W didahulukan sebelum menulis tinta yang tidak berapa ini. Atuk mulakan menaip 'warkah' yang tidak seberapa ini untuk perkongsian ilmiah...

Kehadapan Tuan/Puan,

Manusia, memang sukar dijangka perwatakan mereka. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain Ungkapan yang sering didengar ini menggambarkan dengan jelas akan ragam manusia yang berlainan. Hati yang kotor pastinya mencerminkan perwatakan yang tidak baik(sifat-sifat mazmumah) manakala hati yang jernih dan bersih pastinya sejernih sikap perwatakan mereka. Sudah pastinya komunikasi yang baik serta tutur kata yang dijaga akan keluar dari mereka yang sikapnya sejernih hatinya. Dari sudut psikologi, komunikasi adalah penterjemahan dan cerminan kepada proses yang mempengaruhi perilaku kita.
Mengapa kita berkomunikasi?
al-Ghazali telah menyatakan dalam hujahnya bahawa insan pada fitrahnya sukakan kepada pergaulan kerana keperluan untuk. Walhal, Islam menganjurkan kita menghubungkan silaturrahim sesama muslim dan kepada non-muslim dalam usaha menyampaikan dakwah kepada mereka.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud; " Janganlah kamu saling membenci, saling hasad dengki, saling berpaling dan saling memutuskan silaturahim. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga hari". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini beserta maksudnya atuk telah petik dari Kitab Riyadhus Solihin karangan Imam An-Nawawi. Hadis ini mengajak serta menjelaskan kepada kita akan kepentingan menjaga adab, perlakuan serta pertuturan ketika berkomunikasi. Didalam buku "Kata diucap,perasaan dijaga" yang ditulis oleh Fauziah Wan Jaafar menyatakan komunikasi berkesan mempunyai beberapa ciri. Atuk hanya mengupas serta meringkaskan ciri-ciri yang disebutkan. Antaranya:

1) Kesefahaman

Iaitu memahami dari sudut pandangan mereka sehingga orang yang mendengar betul-betul memahami maksud yang disampaikan. Orang yang jernih minda serta bersih hatinya pastinya bijak menyampaikan mesej dalam kaedah yang betul iaitu terang, jelas,ringkas, terperinci serta santun.

2) Keindahan

Cara penampilan serta kesantunan berbahasa yang ditunjukkan melahirkan keindahan bahasa yang halus,indah dan berseni yang sarat dengan makna dan tunjuk ajar.

3) Kepercayaan

Komunikasi berkesan adalah komunikasi yang mampu membuang penghadang yang menutupi proses perhubungan. Ianya meyakinkan orang yang mendengar sekaligus mampu membentuk jaringan kepercayaan kedua pihak.

Dapat kita lihat dari cara komunikasi orang-orang melayu dahulu yang mempraktikkan ciri-ciri komunikasi berkesan yang berpunca dari Islam.

Wassalam..

Sekian

Yang Benar,

Atuk yang sedang mengantuk..

1 comment: