Tuesday, October 19, 2010

Asim bin Thabit r.a, Hidup disisi Allah s.w.t -siri 2-


Setelah berakhir perang Uhud, Asim bin Thabit telah mengetahui rombongan berserta lima lagi tentera telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Ketika di pertengahan perjalanan tidak jauh dari Mekah, mereka telah dihalang oleh Kaum Huzail. Asim bin Thabit r.a bersama tentera yang lain tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri mereka. Kaum Huzail menjamin keselamatan untuk mereka sekiranya mereka menyerah diri, namun Asim bin Thabit r.a tetap bertegas untuk mempertahankan diri.


Sebelum berlakunya pertarungan beliau telah berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya aku ini mempertahankan agama-Mu dan memperjuangkannya. Maka peliharalah tubuhku dan tulangku, dan janganlah Engkau izinkan keduanya daripada dikuasai mereka". Asim bin Thabit r.a bersama dua sahabatnya memulakan serangan. Setelah berjuang berhabis-habisan bagaikan singa yang kelaparan, ketiga-tiga mereka gugur syahid. Manakala yang  selebihnya telah menyerah diri kerana sangkaan mereka akan mendapat layanan seperti tawanan tetapi malangnya,mereka turut dibunuh.

Sebaik berita kematian Asim bin Thabit r.a tersebar ke Makkah, maka datang utusan Quraisy meminta agar diserahkan kepala Asim bin Thabit r.a kepada Sulafah. Berebut-rebutlah kaum Huzail pergi untuk mengambil kepala Asim bin Thabit r.a setelah mengetahui ganjaran yang begitu lumayan. Setelah sampai berdekatan dengan jasad Asim bin Thabit r.a, mereka terkejut kerana mendapati jasad Asim bin Thabit r.a dikerumuni oleh ribuan lebah dan tebuan padang pasir. Mereka melihat ribuan tebuan dan lebah padang pasir seolah-olah sedang mempertahankan sarangnya.

Oleh sebab tebuan padang pasir digeruni itu menghurung jasad Asim bin Thabit r.a, Kaum Huzail cuba menghalaunya tetapi berbagai-bagai usaha dilakukan tetapi semua gagal. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berehat dan menunggu menjelang malam. Belum pun menjelang malam, langit tiba-tiba berubah gelap dan kilat sambar menyambar lalu turunlah hujan yang sangat lebat  sehingga kawasan pertempuran menjadi seolah-olah tasik apabila air naik dengan cepat.

Sehinggalah Subuh keesokannya barulah hujan berhenti, Maka suku Huzail mula bersiap-siap untuk mendapatkan jasad Asim bin Thabit r.a bagi mengambil kepala beliau. Namun impian mereka tinggal angan-angan apabila mendapati jasad Asim bin Thabit r.a hilang. Tubuhnya hilang entah kemana dalam aliran air hujan yang lebat itu tetapi rohnya sudah diambil Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali- Imran ayat ke 169-170, yang bermaksud "Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."


Wassalam..

No comments:

Post a Comment