Thursday, December 2, 2010

Terbitnya fajar Islam ~~3~~

Akhirnya, kedua-dua pasukan pun saling berhadapan di pagi 17 ramadhan. Disitu, nampak jelas kecekapan Rasulullah s.a.w memimpin pasukan. Baginda sendiri yang meninjau pasukan, meluruskan barisan dan memberikan semangat kepada mereka sehingga semangat dan perasaan mereka menyala. Mus'aib bin Umair memegang panji Muhajirin sementara panji Khajraj bersama Habbab bin Mundhir,panji Aus bersama Saad bin Muadz sedangkan panji Rasullah bersama Ali bin Abi Thalib.Kemudian Rasulullah kembali ke markas pengendalian pasukan yang telah disiapkan buat Rasulullah s.a.w, lalu baginda pun berdoa "Ya Allah, realisasikanlah apa yang Engkau janjikan padaku, jika pasukan Islam ini binasa Engkau tidak akan pernah disembah dimuka bumi"  (rujuk Tarikh al-Thabari, juz :2,hlmn 447).

Kemudian Rasulullah pun berangkat menuju ke medan, lalu memberikan semangat untuk tentera Muslimin agar tabah dan pantang berundur menghadapi musuh fisabilillah dan menjanjikan kepada mereka dengan kemenangan Allah Yang Maha Perkasa. Setibanya di medan tempur, pertempuran satu lawan satu dimulakan, maka tampil tiga orang dari tentera Musyrikin memulakan pertempuran.
 Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud " Wahai Bani Hasyim, majulah dan hadapi hakmu yang dirampas oleh mereka yang datang dengan kebatilan yang berkehendakkan melenyapkan agama Allah" setelah mendengar seruan Rasulullah s.a.w itu, Hamzah bin Abdul Muthalib, Ali bin Abi Thalib dan Ubaidah bin Harits tampil ke depan menawarkan  diri.
Maka pertempuran diantara kedua belah pihak pun bermula, disaksikan oleh tentera dari kedua-dua pasukan yang diiringi dengan degupan jantung untuk menantikan keputusan pertarungan ini. Penantiannya tidak berlangsung lama, Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada tentera Islam. Ketiga-tiga tentera dapat ditumpaskan oleh pahlawan Islam,dan Ubaidah bin Harits mendapat syahid yang diimpikan.
Kemenangan ini adalah merupakan permulaan kepada kemenangan Islam. Lalu Rasulullah memerintahkan untuk menyerang secara serentak dan maju kehadapan. Rasulullah s.a.w sendiri yang turut berperang dan memimpin para mujahidin. Diceritakan bahawa apabila satu penjuru peperangan bertambah sengit,baginda s.a.w segera mendatanginya dengan menghunuskan pedang sehingga pasukan Islam berusaha mengelilingi dari segenap penjuru,berjihad dengannya sehingga merasakan seolah-olah bernaung dibawah perlindungan Baginda s.a.w.
Cuaca semakin panas dek kerana pancaran matahari yang terik, serentak itu jugalah semakin membara pertempuran dikedua-dua pasukan. Kaum Muslimin bertarung dengan gagah berani bagaikan singa yang kelaparan menentang musuh yang jauh lebih ramai, namun Allah s.w.t menguatkan mereka dengan pertolongan dari-Nya, mereka terus menyerang sehingga sebahagian musyrikin terbunuh manakala sebahagian lagi berjaya ditawan. Akhirnya pada pagi Jumaat, kemenangan berpihak kepada pasukan Islam, di mana pasukan musuh telah berundur dengan membawa kekalahan.
Inilah anugerah Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang bertakwa dan berjuang demi meninggikan kalimah tauhid.Allah s.w.t memuliakan mereka dengan kemenangan yang menjadi pemisah antara kekerasan dan penindasan dari Quraisy yang dulunya dideritai oleh Muslimin pada masa awal Islam dengan fajar pertolongan Allah s.w.t terhadap agama-Nya.
Kisah ini diabadikan dalam al-Quran pada surah al-Anfal ayat 17 yang bermaksud "Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau(wahai Muhammad) yang melemparkan ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan mengurniakan orang-orang beriman dengan pengurniaan yang baik(kemenangan) daripad-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"







Wallahu'alam..sekian..Terima Kasih..(^^,)

No comments:

Post a Comment