Tuesday, August 10, 2010

Bahaya Pemikiran Islam Liberal

Bismillah

Alhamdulillah,bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang dan kesempatan untuk masih mampu menulis. Selamat menyambut ramadhan al-Mubarak buat semua kaum muslimin dan muslimat tidak kira di mana jua anda berada. Semoga Ramadhan pada kali ini penuh bermakna dan lebih bermakna. InsyaAllah. Kali ini saya cuba untuk berkongsi mengenai sedikit mengenai Islam Liberal dan sekiranya ada kesilapan dan kesalahan,saya amat berharap teguran dari pembaca sekalian. Oleh kerana masih ada golongan diluar sana yang tidak memahami maksud sebenar ‘Islam Liberal’ ini sehingga ada di antara mereka yang tidak mahu langsung untuk mendalami bahayanya terhadap umat Islam. Islam Liberal mula diperkenalkan oleh buku “Liberal Islam: A source book” yang ditulis oleh Charles Kuzman (London, Oxford University Press, 1988) dan buku “Islamic Liberalism : A Critique of Development Ideologies ” yang ditulis oleh Leonard Binder (Chicago,University of Chicago Press, 1998). Namun idea yang mendokong liberalisme ini telah muncul sebelum tahun 1988.

Sebagai contoh, di Indonesia,idea-idea Islam Liberal telah ada sejak 1970 seiring dengan munculnya idea sekularisasi dan modernisasi Islam yang dibawa oleh Nurkholis Majid, Harun Nasution, Mukti Ali, dan kawan- kawannya (lebih lanjut rujuk buku 50 Tokoh Islam Liberal di Indonesia, Budi Handrianto, Jakarta ,2007). Gerakan liberisasi ini sebenarnya adalah pengaruh falsafah liberalisme yang dibawa dari Barat.

Golongan ini berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama,mentafsir semula Al-Quran,menilai semula syariat dan hukum-hukum fiqah.Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan dengan realiti semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara putus(Qat’ie). Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, cara berfikir barat tersebut terdiri daripada lima sifat yang saling kait-mengait :



1. Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan dunia.

2. Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran. Contohnya dualisme antara akal dan jasad, dan pemisahan antara kaedah rasionalisme dan empirisisme.

3. Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang mempamerkan pandangan alam (worldview) yang sekular.

4. Doktrin humanisme iaitu jelmaan ideologi sekuralisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepada fikiran manusia.

5. Konsep tragedi yang menyusup dalam setiap arena kehidupan baik falsafah, agama, atau kesenian.

konsep ini mencerminkan jiwa yang tidak beriman kerana kecewa dengan agama. Konsep tragedi in mengakibatkan mereka asyik berpandu kepada keraguan dan dalam proses ini falsafah telah diiktiraf sebagai alat utama menuntut kebenaran yang tiada tercapai.

Leonard Binder, penulis buku Islamic Liberalism dan seorang pakar politik beragama Yahudi dari universiti Chicago mengakui bahawa sekularisme sebenarnya telah gagal di Timur Tengah(dunia Islam), oleh sebab itu,barat memberikan konsep Islam Liberal untuk memperkuatkan liberalisme politik di negara-negara Islam dan menyimpulkan bahawa tanpa Liberalisme Islam yang kuat,maka liberalisme politik di Timur Tengah tidak akan berhasil.(Adian Husaini,Islam Liberal,ms.23)

Menurut Khalif Muammar,antara ciri-ciri pemikiran Islam Liberal adalah :
1) Rasionalisme dan sekularisme.
2) Penolakan terhadap Syariah.
3) Pluralisme Agama.
4) Penolakan terhadap keagaam.
5) Kebebasan mentafsirkan teks-teks agama Islam.
6) Tiada dakwaan kebenaran (faham relativisme)
7) Mempromosikan nilai-nilai Barat.
8) Pembebasan Wanita.
9) Mendukung demokrasi liberal sepenuhnya.

Oleh sebab itu,menurut Syeikh Abdullah al-Khatib dalam kitabnya "al-Islam wa raddu ala hurriyatl fikri" menytakan bahawa golongan yang berfikiran bebas mempunyai agenda tersembunyi iaitu :

1) Untuk mengugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat iaitu memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba.

2) Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan daripada segala ikatan dengan akhlak,akidah dan keimanan kepada Allah S.W.T

3) Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu(ilhad) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment