Thursday, September 2, 2010

Untuk apa kita berdoa?



Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepadaKu,nescaya akan Aku perkenankan bagimu.Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan yang hina" (Surah Ghafir 40:60)

Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang-orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Untuk apa kita berdoa?
 kita berdoa bukanlah untuk memberitahu Allah apa yang kita inginkan kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan ataupun yang disembunyikan. Jadi untuk apa? Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Doa untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t.Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa.Inilah hakikat doa.

Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula dengan bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki  kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap, hinggalah tidur semula. Semuanya ada doa yang khusus malah untuk melakukan hubungan suami isteri juga mempunyai doanya.

Itulah uniknya Islam.Begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar tetapi untuk melaksanakan perkara yang remeh sekalipun Islam mengajar kita untuk berdoa. Allah mendidik manusia  agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

Mengapa doa penting? Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya,manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Kehilangan ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali. Doa juga adalah interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah,hati kita menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikat sebuah kebahagiaan.

Doa itu harapan.Doa adalah kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa,kita mengharapkan sebaik takdir,dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir.Apabila bergabung keduanya, Insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

Justeru itu, doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita juga mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk bertindak.Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat.

Oleh itu, sentiasalah berdoalah kepada Allah s.w.t.Doa itu senjata mukmin.

Wallahu'alam.

1 comment:

  1. salam

    ya, bagi yang tahu apa hikmah disebalik berdoa, beruntunglah dia tapi saya kesal melihat saudara2 kita masih tidak tahu menghormati doa apabila dibacakan. tindakan mereka ibarat meremeh-temehkan segala kebaikan yang dipohon. jika kita terjumpa saudara kita seperti ini, sama2lah saling memberi ingatan dengan cara yang berhemah.

    teruskan perjuanganmu.

    ReplyDelete