Sunday, February 26, 2012

Pengembara di Alam Dunia



Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W sebagai seorang pengembara dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi. Pengembara yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan sementara yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya adalah warga satu alam lagi.

 Manakala pengembara yang lupa daratan akan menikmati sepuas-puasnya apa sahaja yang ditempuhinya seolah-olah inilah dunianya sehingga terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka terpedaya dengan kemanisan dunia dan menyangka apa yang dipungut mereka ialah bekalan. Sebagai seorang pengembara yang, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang dipiawaikan oleh Rasulullah S.A.W.

Untuk sampai ke destinasi akhirat, pungutlah bekalan sebanyak yang mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai beban yang boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang tua, kita sebenarnya adalah warga akhirat tempat yang kekal abadi. Manakala dunia ini hanyalah rumah tumpangan sementara yang penuh dengan kepalsuan dan tipu daya. 

Oleh itu, kita mestilah bijak memilih mana satu bekalan dan mana satu bebanan. Barangan yang dikategori sebagai barangan bekalan yang berfaedah untuk kehidupan di sana yang kekal abadi. Kutiplah bekalan sebanyak mungkin dan hindarkan memikul beban yang menyulitkan perjalanan. Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam dan hasilnya kita akan kecapi di akhirat nanti.

Islam tidak menghalang umatnya mencari harta benda dan kekayaan, asalkan ia tidak menghalang dari melakukan pengabdian kepada Allah Taala. Malahan orang Islam yang kaya adalah amat diperlukan kerana dialah sumber ekonomi negara dan sebagai juruwang bagi saudaranya yang miskin lagi memerlukan bantuan. Orang kaya adalah pembantu orang miskin, orang kuat adalah pelindung golongan yang lemah, orang alim sebagai sumber cahaya dan ilmu kepada yang jahil. Begitulah golongan ini saling bantu membantu antara satu sama lain. Apa yang dilarang oleh Islam ialah meletakkan keduniaan sebagai sasaran utama dalam hidup melebihi hal-hal keakhiratan dan pengabdian kepada Allah Taala.

No comments:

Post a Comment