Wednesday, December 8, 2010

Merasai keajaiban sujud

"Sujud bererti dia telah mengingatkan dirinya 
terhadap asal kejadian dirinya dan 
mengembalikan dirinya kepada tanah"

Sayugia dilakukan setiap kali ruku' dan sujud ketika solat, sentiasalah membaharui ingatan kepada Allah s.w.t. Setiap kali mengangkat kedua-dua tangan dan bertakbir bagi perpindahan rukun kepada ruku' dan juga sujud itu bagaikan seorang yang menyerah diri, minta belas kasihan serta perlindungan dari seksa.
Manakala tunduk meletakkan dahi ketika sujud pula merasakan bahawa mereka sedang merendah atau menghina diri kepada suatu Zat Allah Yang Maha Agung, dan apabila ia merasa kehebatan Allah Yang Maha Agung maka ketika itu ia juga perlu merasai bahawa dirnya amat kecil dan terlalu kerdil dihadapan Allah Taala itu.

Perasaan seperti itu hendaklah tumbuh sentiasa tumbuh dan disuburkan dalam hati ketika ruku' dan sujud agar ia menyedari betapa hebat, perkasa, mulia dan agungnya Tuhan yang disembah itu. Disamping merasai betapa hinanya diri, apatah lagi bila mengenang asal manusia adalah setitis air yang hina. Apabila ia telah memasukkan sifat Kalimat Tuhan di dalam hatinya ketika solat itu, maka dengan sendirinya akan terbitlah rasa khusyuk dan elok perlaksanaan solatnya.

Dengan rasa demikian yang sentiasa subur didalam hati, maka tumbuhlah rasa taat kepada segala peraturan-Nya. Dengan sendirinya akan lenyap ciri-ciri engkar dalam diri orang itu kerana ia sedar betapa kecilnya dia di depan kekuasaan Allh SWT. Rupa bentuk ruku' di dalam solat pada zahir perbuatan menunjukkan betapa seseorang itu sedang menyerah malah seperti minta dikasihani. Oleh kerana solat fardu dalam satu hari satu malam itu mengandungi 17 rakaat, bererti 17 kali ruku' atau tunduk menyerah diri kepada Zat Allah Yang Maha Perkasa itu. Jika sebanyak itu manusia tunduk menyerah kepada Tuhan, maka manusia mana lagi yang mampu untuk membantah atau engkar kepada Tuhan.

Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya di tempat paling rendah di muka bumi. Ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah. Dengan sujud juga bererti dia telah mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina, maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah SWT yang menciptakan dirinya dan tanah itu.

Sesungguhnya asal kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran adalah dijadikan dari tanah, muka setiap kali seseorang itu sujud maka ia bertujuan mengasuh hatinya bahawa kelak akan dikembalikan kepada tanah iaitu menemui kematian seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.Dengan demikian juga bererti sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan asal kejadiannya tetapi ia juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajalnya.

Maka setiap kali sujud, sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasalah olehnya bahawa seolah-olah itulah solatnya yang penghabisan. Setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu adalah pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.

Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasa kebesaran Allah SWT, dan ketika itulah ia membaharui lagi didalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi, di samping lidah mengucapkan perkataan Subhana Robbi al-A'la wa Bihamdih..Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan segala puji bagi-Nya..

Wallahua'lam.

Sumber Rujukan: Khusyuk Dalam Solat, edisi 2007, tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

1 comment:

  1. Kita paling hampir dengan Allah ketika bersujud...
    Semakin banyak kita sujud semakin hampir kita dengan Allah...

    "sama2 kita perbanyakkan sujud(solat) kepadaNya.."

    Salam Maal Hijrah..

    ReplyDelete